MAJLIS JAMUAN AKHIR TAHUN 2025

Alhamdulillah pada hari Jumaat bersamaan 5 Disember 2025, Madrasah PMTSA telah berjaya menganjurkan Majlis Jamuan Akhir Tahun 2025 bertempat di Dewan Makan madrasah. Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para pelajar yang telah berusaha bersungguh-sungguh sepanjang tahun dalam menuntut ilmu, selain meraikan kejayaan mereka dalam Program Sukan Akhir Tahun dan Pertandingan Ilmiyah yang berlangsung sebelum ini. Selain itu, majlis ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara para pelajar serta menambahkan rasa hormat dan kasih antara guru dan anak murid.

Majlis bermula pada jam 8.45 malam dengan bacaan Ratib al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengasas dan Pengerusi madrasah, Al-Fadhil Abuya Hj Mohd Fadzil bin Haji Ismail. Seterusnya, hadirin diperdengarkan dengan bacaan al-Qur’an oleh adik Muhammad Azfar bin Azreen diikuti bacaan hadith oleh adik Muhammad Jamiluddin bin Muhayyat. Suasana majlis bertambah meriah apabila para pelajar mempersembahkan alunan qasidah yang menghidupkan lagi nilai kerohanian acara tersebut.

Sekitar jam 9.10 malam, majlis diteruskan dengan ucapan ringkas daripada wakil asatizah, diikuti ucapan penghargaan dan nasihat oleh Mudir. Ucapan-ucapan ini memberi peringatan dan motivasi kepada para pelajar agar terus beradab dalam menuntut ilmu serta istiqamah mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat.

Salah satu acara yang paling dinantikan pada malam itu ialah Penyampaian Hadiah kepada para pemenang sukan tahunan bagi tempat ke-4, ke-3, ke-2 dan tempat pertama. Pemberian hadiah ini bertujuan menyuntik semangat untuk menuntut ilmu serta merai usaha gigih para peserta sepanjang pertandingan.

Majlis diakhiri pada jam 9.45 malam dengan bacaan doa penutup yang dipimpin oleh Ustaz Fazran. Hadirin kemudiannya dijemput menikmati jamuan secara konsep potluck, di mana makanan dibawa oleh para ibu bapa pelajar. Suasana makan malam berlangsung penuh mesra dan harmoni, menggambarkan kekuatan ukhuwah keluarga besar PMTSA.

Secara keseluruhannya, Majlis Jamuan Akhir Tahun 2025 berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang diharapkan. Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi memupuk adab, ukhwah dan kecintaan kepada ilmu dalam kalangan para pelajar.

Kongsikan Artikel Ini:

SYARAT KEMASUKAN

Kemasukan ke Pondok Moden Tahfiz Saadah Addaarain adalh tertakluk kepada syarat-syarat dan terma.

BORANG PERMOHONAN

Kemasukan pelajar ke Pondok Moden Tahfiz Saadah Addaarain boleh dibuat secara online. Klik link di bawah ini untuk mohon.

Derma

Segala sumbangan ikhlas untuk memperkukuhkan inisiatif kami ini boleh disalurkan kepada akaun berikut:

Pondok Moden Saadah Addaarain
5628 7050 2950